SEOUL: Korea Utara akan membuka semula sekolah di republik itu bulan ini selepas menutupnya akibat pandemik COVID-19.
Agensi berita Yonhap melaporkan, walaupun Pyongyang tidak pernah mengesahkan kes positif, namun negara itu melaksanakan peraturan ketat termasuk menutup sempadan dan mengasingkan ribuan rakyatnya.
Penggal baharu persekolahan yang sepatutnya bermula April lalu ditangguhkan beberapa kali walaupun terdapat universiti dan sekolah menengah dibenarkan beroperasi pertengahan April lalu.
"Semester baharu akan dimulakan untuk sekolah rendah dan menengah, manakala langkah-langkah kuarantin diambil bagi pembukaan semula taska dan tadika.
"Pihak berkuasa pendidikan sudah diarahkan menyediakan alat pembaca suhu dan cecair pembasmi kuman di setiap pintu pagar sekolah, kelas serta pejabat, manakala pekerja di sekolah dan taska dinasihatkan mengamalkan prinsip anti-virus," menurut agensi terbabit yang memetik laporan radio republik berkenaan.
Penganalisis berkata, Korea Utara mungkin berhasil mencegah jangkitan virus terbabit yang pertama kali muncul di negara jirannya, China dan sehingga kini sudah merebak ke seluruh dunia. COVID-19 setakat ini sudah menjangkiti lebih 6.1 juta penduduk dan meragut kira-kira 370,000 nyawa di seluruh dunia. - AFP








