Insiden dua pelajar sekolah yang menunggang motosikal memakai baju tertulis perkataan memaki hamun guru selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini amat mendukacitakan.
Sebelum ini, tular kisah guru yang dimaki kerana tidak memberi kebenaran keluar awal kepada pelajar tersebut susulan mengikut arahan yang ditetapkan ketika menjaga dewan peperiksaan SPM pada 23 Februari lalu.
Kejadian begini menimbulkan persoalan adakah sistem pendidikan negara kita dari sekolah rendah ke sekolah menengah gagal membentuk akhlak yang mulia.
Yang pasti, tindakan pelajar terlibat walaupun hanya segelintir membuktikan masih ada golongan yang tidak menghormati dan tidak beradap dengan guru.
Sedangkan kita maklum, guru adalah ibarat pelita yang menerangi hidup setiap insan. Tidak ada orang yang berjaya tanpa didikan seorang guru waima orang itu Perdana Menteri atau saintis hebat atau orang terkaya seperti Bill Gates. Siapalah kita tanpa guru.
Dalam proses menuntut ilmu, adab dengan guru amat perlu diberi perhatian. Kehilangan adab akan menyebabkan hilangnya keberkatan ilmu yang dituntut. Oleh itu, sejak dari awal adab perlu diterapkan dalam jiwa anak agar mereka tidak kehilangannya pada kemudian hari.
Pelajar zaman penulis bersekolah tahun 70 dan 80-an, walau nakal sekali pun, mereka tetap menghormati guru. Biarpun pernah dirotan atau didenda atas kesalahan yang dilakukan belum pernah terkeluar kata-kata kesat atau maki hamun kepada guru. Kini apabila dewasa, barulah mereka sedar yang tindakan keras dan hukuman guru itulah yang menjadikan mereka ‘manusia’ hari ini.
Beradab di hadapan guru amat diutamakan. Ia supaya apa yang dipelajari lebih diberkati. Imam Al-Ghazali amat mementingkan adab dalam menuntut ilmu. Malah beliau mengkhususkan satu bab dalam kitab Ihya’ Ulum al-Din tentang adab bersama guru.
Bahkan, Sheikh Abdullah Mubarak berkata: “Aku mempelajari adab menuntut ilmu selama 30 tahun, kemudian baharu mempelajari ilmu.” (Ghoyatul Nihayah fi Tobaqat al-Qira)
Guru, insan yang mulia kerana membawa bersamanya ilmu. Dengan ilmu itu ia menerangi murid dan pelajarnya erti hidup dan kemanusiaan. Guru agama menunjukkan muridnya tentang matlamat hidup iaitu pengabdian diri kepada Allah SWT. Adapun guru dalam lain-lain disiplin ibarat memberi joran kepada anak-anak muridnya untuk mencari rezeki di atas muka bumi ini.
Rasulullah SAW turut menekankan bab mulianya para guru. Antaranya sabda Nabi SAW yang bermaksud: Siapa yang dikehendaki kebaikan yang banyak oleh Allah, nescaya akan difahamkan perihal agamanya. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Dalam hadis ini terdapat keterangan yang jelas tentang kelebihan orang yang berilmu ke atas semua manusia. Begitu juga keutamaan ilmu agama di atas ilmu-ilmu yang lain.” (Fath al-Bari, 1/165)
Guru adalah penunjuk jalan kebaikan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa yang memulakan suatu perbuatan dalam Islam suatu sunnah yang baik, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan bagi pemulanya pahala orang yang beramal dengannya, dan tidak akan berkurang daripada pahala mereka suatu pun. (riwayat Muslim)
Ramai pelajar berasa tidak perlu menjaga adab terutama dengan guru sedangkan mereka perlu mendidik diri, menjaga adab dan akhlak supaya ilmu diperoleh mendapat keberkatan serta kekal dalam diri.
Rasulullah SAW pernah berdoa: Ya Allah, janganlah sampai aku menemui satu zaman ketika manusia tidak lagi mengikuti orang alim sehingga manusia tidak lagi segan pada orang berakhlak baik.
Hati mereka seperti hati orang asing dan apabila berbicara seolah-olah ahli agama tetapi hilang akhlak dan adab dalam hidupnya. (riwayat Ahmad)
HORMATI GURU
Oleh itu, anak murid mesti memandang guru dengan penuh rasa hormat dan meyakini ilmu gurunya. Imam Syafie r.a semasa menuntut ilmu dengan Imam Malik tidak berani menyelak helaian kitabnya melainkan secara amat perlahan kerana bimbang bunyi itu mengganggu gurunya.
Imam Rabi’ pula tidak berani minum walau seteguk air di hadapan Imam Syafie kerana rasa hormat kepada gurunya. Justeru, anak murid perlu belajar merendahkan diri terhadap guru dan mengelakkan perasaan bongkak termasuk bercakap dengan sopan santun.
Oleh sebab sifat rendah diri juga, Imam Syafie pernah ditegur gurunya yang sangat dipandang tinggi sehinggakan pernah menulis sebuah syair: “Saya sengaja merendahkan diri di hadapan mereka yang dimuliakan kerana ilmu yang ada padanya. Dan mana-mana jiwa yang tidak pernah menghinakan dirinya, dia tidak akan merasakan kemuliaan dalam dirinya.”
Imam Syafie, insan hebat yang diberi kelebihan ilmu oleh Allah SWT pun amat menjaga adab dan menghormati guru. Adakah kita, insan kerdil ini lebih hebat daripada beliau untuk melayakkan kita menghina, menghamburkan kata nista dan maki hamun kepada guru?
Hebatnya Imam Syafie, menghafal al-Quran pada usia tujuh tahun. Kemudian menghafal kitab Muwatta’ karangan Imam Malik ketika berusia 10 tahun. Beliau menghafal kitab Muwatta’ yang memiliki hampir 70,000 hadis dalam masa sembilan malam.
Ketika Imam Syafie mengunjungi Imam Malik untuk mempelajari kitab Muwatta’ itu, beliau membaca keseluruhan kitab itu sehingga khatam tanpa melihat kepada teks kitab itu. Selepas itu, beliau bertanyakan soalan kepada Imam Malik. Bersilih ganti soalan demi soalan beliau ajukan kepada Imam Malik. Lalu Imam Malik mengatakan: “Kamu ini seolah-olah mahu menjadi kadi.”
Dari segi keluasan ilmu Imam Syafie, Al-Qadi Yahya Ibn Mansoor berkata: “Aku bertanya kepada Imam kepada imam para hadis, Imam Ibn Khuzaimah, adakah tuan tahu mengenai sunah Rasulullah SAW yang berkaitan halal dan haram yang tidak diletakkan oleh Imam Syafie di dalam kitabnya?” Beliau katakan: “Tidak, kerana seluruh hadis itu berada di dalam kitab Imam As-Syafie.”
Sesiapapun yang pernah mengajar kita tidak kiralah dalam bidang apa pun selagi ilmu yang bermanfaat wajar dihormati. Sebabnya, mereka adalah guru kita. Sebagai yang pernah jadi murid mereka, jangan kita lupakan budi pekerti dan jasa para guru.
Contohilah perilaku Imam Syu’bah terhadap gurunya hingga beliau berkata: “Apabila saya belajar dengan guru, saya akan menjadi hamba kepada mereka selagi mereka hidup.” Ini contoh bagaimana murid menghargai ilmu yang sangat bernilai dan meraikan jasa guru.
Dalam masa yang sama, mari kita doakan guru-guru dipanjangkan umur dan diberi keberkatan hidup.