fbpx

Kepentingan Jalur Gemilang

DENGAN mengibar Jalur Gemilang, sebenarnya bukan sahaja memperlihat, kita juga mengisytihar kesetiaan kita kepada negara tercinta ini. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

SABAN tahun apabila tiba Bulan Kebangsaan, bendera negara adalah antara peranti kebangsaan yang bukan sahaja banyak terlibat, juga selalu diperkata. Ini kerana bendera negara adalah lambang negara. Sehubungan ini, ia yang diberi nama Jalur Gemilang adalah representasi Malaysia kepada seluruh dunia. Antaranya sebagai negara berdaulat selain negara yang rakyatnya berjati diri kental dalam membanggai, mencintai dan mentaati tanah air mereka.

Sebenarnya peranan Jalur Gemilang jauh daripada bersifat semata-mata sebagai lambang, iaitu sekadar representasi. Dalam hal ini, Jalur Gemilang adalah identiti rakyat Malaysia di persada dunia bahawa mereka adalah warga kepada negara tercinta ini. Selain kepentingan ini, ia yang memang boleh membangkitkan perasaan patriotik adalah juga pengikat keutuhan perpaduan negara antara etnisiti dan integrasi nasional sesama wilayah.

Dengan demikian, penggunaannya dalam bentuk wajar adalah amat sangat penting. Sebagai lambang negara, Jalur Gemilang yang mempunyai kaitan rapat dengan negara hendaklah diperlaku bukan sahaja secara terhormat, ia juga harus dihormati sepenuhnya pada setiap masa dan bukan sahaja sewaktu Bulan Kebangsaan. Ini kerana ia yang tidak dapat lari daripada dikaitkan sepenuhnya dengan patriotisme, wajib digunakan dengan dikibarkan dan digantung dengan betul selain dipegang dengan penuh hormat.

Dalam hal ini, Akta Lambang dan Nama 1963 Pindaan 2017 dan Surat Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 1994 adalah rujukan penting. Akta ini secara khususnya melarang penggunaan lambang seperti bendera negara dan nama, misalnya Jalur Gemilang untuk tujuan komersial. Surat Pekeliling itu pula secara khususnya menyediakan panduan mengenai cara pengibaran bendera negara di bangunan kerajaan.

Sebenarnya wujud protokol, etika dan panduan umum dan juga yang khas mengenai pengendalian dari semua aspek terhadap bendera negara termasuklah bendera negeri dan agensi kerajaan. Ini kerana bendera dianggap entiti kudus yang harus diuruskan bukan sahaja penuh tertib, juga dengan istiadat yang tuntas. Sehubungan ini, sesetengah negara memasukkan protokol ini ke dalam sistem perundangan yang boleh dikenakan hukuman manakala lain-lain hanya memilih untuk memberi panduan tanpa dikenakan apa-apa hukuman sama ada bersifat sivil mahupun jenayah.

Dalam hal ini, Australia melalui Australian National Flag Protocol, antaranya menetapkan masa khusus untuk memasang bendera negara, iaitu hendaklah dinaikkan setelah cerah pada waktu siang dan diturunkan sebelum gelap pada waktu malam. Inilah prosedurnya di sana untuk memberi penghormatan penuh selain meletakkan martabat tertinggi kepada negara melalui peranti negara ini. Ini kerana bendera negara adalah juga lambang kedaulatan sesebuah negara.

Di Malaysia, belum terdapat kod amalan dikeluarkan secara khusus tentang cara pengendalian Jalur Gemilang yang ikut menyangkut bendera negeri dan agensi kerajaan. Ini mungkin kerana belum ada kesalahan serius lagi kerap yang sengaja dilakukan rakyat terhadap bendera rasmi di negara ini.

PANDUAN

Namun, dirasakan sudah tiba masanya kerajaan menerusi antaranya Bahagian Istiadat di Jabatan Perdana Menteri menggubal peraturan sebagai panduan kepada rakyat untuk diikuti semasa mereka mahu menggunakan bendera rasmi di kediaman dan pada kenderaan masing-masing.

Sebenarnya peraturan ini bukan sahaja akan menjadikan rakyat bertambah peka untuk lebih bertanggunjawab dalam segala hal berkenaan bendera, ia juga akan menjadi pendidikan sosial penting, iaitu tunjuk ajar tidak formal kepada masyarakat untuk mereka lebih memahami kepentingan bendera selain mengambil cakna dalam tindak-tanduk semasa berurusan dengan bendera. Ini sangat penting kerana sebagai lambang kedaulatan, bendera itu hendaklah diperlaku dengan cara yang tidak sesekali boleh dikaitkan dengan perbuatan tidak menghormatinya, apatah lagi penghinaan terhadapnya.

Penghormatan ini penting sebab sesuatu bendera itu mewakili gagasan tertentu antaranya aspirasi, pemahaman dan konsepsi. Bagi Jalur Gemilang, jalur dan bintang pecah 14 itu melambangkan keanggotaan utuh wilayah di dalamnya, manakala anak bulan menandakan Islam sebagai agama negara dan warna kuning adalah simbol pemerintahan beraja. Dengan ini, penghormatan kepadanya sesungguhnya adalah sama dengan perbuatan fisikal kita dalam menjunjung tinggi kesemua yang diwakili itu. Justeru, dengan mengibar Jalur Gemilang, kita sebenarnya bukan sahaja memperlihat, kita juga mengisytihar kesetiaan kepada negara tercinta ini.

Natijahnya di sini ialah dengan menghormati Jalur Gemilang, ia adalah persamaan dengan kita menghormati segala yang diwakilinya, iaitu agama Islam, raja-raja Melayu, kesemua wilayah di dalam Persekutuan Malaysia selain simbolisme warna merah, putih, biru dan kuning secara khasnya dan segala macam yang lain mengenai negara secara amnya.

Sebenarnya selain gagasan itu, Jalur Gemilang juga mempunyai ideal, iaitu hasrat unggul sebagai nilai negara. Ideal ini merangkumi prinsip mulia lagi tulus tentang keutuhan kesemua wilayah di dalamnya untuk terus kuat mendukung institusi beraja bagi pemerintahan stabil dan khusyuk memelihara kesucian Islam bagi memberi arah dan tujuan benar kepada kehidupan nasional. Inilah nilai negara yang dihasratkan pada Jalur Gemilang untuk dijiwai kerana ideal ini sesungguhnya adalah untuk kesejahteraan rakyat selain kemakmuran negara tercinta ini. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!