PARIS: Hampir 260 juta kanak-kanak tidak berpeluang ke sekolah pada 2018 disebabkan oleh kemiskinan dan diskriminasi ketidaksamaan pendidikan, malah diburukkan lagi dengan pandemik COVID-19, menurut Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Angka itu mewakili sebanyak 17 peratus kanak-kanak dipelbagai peringkat sekolah, kebanyakan mereka di selatan dan tengah Asia dan sub-Sahara Afrika.
Krisis pandemik COVID-19 memburukkan lagi keadaan dengan hampir 90 peratus kanak-kanak di seluruh dunia terkesan dengan penutupan sekolah.
Ketua Pengarah UNESCO, Audrey Azoulay, berkata semua pihak sepatutnya belajar daripada masa lalu seperti ketika krisis Ebola yang memperlihatkan ramai tertinggal dan rata-rata kanak-kanak perempuan yang miskin pula tidak akan kembali semula ke sekolah.
Menurut laporan UNESCO, terdapat dua negara Afrika melarang kanak-kanak perempuan daripada sekolah yang mana 117 negara membenarkan perkahwinan bawah umur, kira-kira 335 juta kanak-kanak perempuan hadir ke sekolah tidak disediakan air dan perkhidmatan kebersihan ketika datang bulan di dalam kelas.
"Banyak negara masih lagi mengamalkan sistem pemisahan pendidikan yang menguatkan lagi stereotaip, diskriminasi dam pengasingan.
"Hanya 41 negara di seluruh dunia mengiktiraf bahasa isyarat secara rasmi dan secara globalnya lebih bersemangat untuk mendapatkan akses internet daripada melayani pelajar kurang upaya.
"UNESCO menggesa semua negara untuk fokus kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik ini sebaik sekolah dibuka selepas sekatan akibat COVID-19, pendidikan lebih inklusif sangat mustahak dan kegagalan bertindak menghalang kemajuan masyarakat," kata Azoulay. - AFP








