SIARAN MEDIA: YAYASAN SELANGOR TAJA MURID CEMERLANG DI KOLEJ YAYASAN SAAD MELAKA MELALUI PROGRAM BITARA

 

Yayasan Selangor(YS) meneruskan agenda transformasi pasca 50 tahun penubuhannya dengan memperkenalkan program pendidikan baharunya iaitu Program Bitara Yayasan Selangor (BITARA). Menurut Puan Zahura Zakry, Pengurus Kanan Pendidikan YS, melalui program BITARA ini, murid cemerlang tajaan YS yang terpilih berpeluang untuk meneruskan persekolahan di sekolah elit dengan iklim pembelajaran yang lebih kondusif, prasarana yang lebih efektif serta membantu membangunkan jati diri, kepimpinan, sahsiah, rohani dan intelektual murid.

Program ini merupakan sebagai nilai tambah program legasi pendidikan sedia ada iaitu Rancangan Khas Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia Dengan Kerjasama Yayasan Selangor (RKPYS) yang telah dimulakan sejak tahun 1971 sehingga kini.

Objektif BITARA adalah untuk melahirkan murid yang cemerlang, berfikiran global dan kompetitif yang memenuhi keperluan pasaran pekerjaan yang bertaraf dunia. Ia juga merupakan sebagai pengiktirafan dan ganjaran kepada murid-murid tajaan YS yang cemerlang untuk mereka menikmati kemudahan yang lebih baik di sekolah ternama di samping melonjak pencapaian mereka ke peringkat lebih tinggi.

Program BITARA ini telah diluluskan oleh Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Selangor yang dipengerusikan oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, dilaksanakan dengan kerjasama Kolej Yayasan Saad Melaka(KYSM).

Antara syarat dan kriteria yang ditetapkan ialah murid perlu mendapat keputusan sekurang-kurangnya 7A dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) atau peperiksaan yang setara dengannya atau syarat/ ketetapan yang ditetapkan oleh institusi/ kolej/ sekolah dan lulus ujian kelayakan yang ditetapkan oleh KYS serta proses temuduga di dalam Bahasa Inggeris. Selain daripada itu, sebagai murid tajaan YS, mereka adalah terdiri dari golongan B40 dengan pendapatan per kapita keluarga kurang daripada RM2,000 sebulan.

Sebagai projek perintis, tiga orang murid yang menepati kriteria dan syarat pemilihan telah dipilih secara bersama antara YS dan KYSM. Dua pelajar mendapat penajaan penuh YS dan seorang lagi pelajar mendapat penajaan bersama YS dan KYSM. Penajaan ini adalah termasuk yuran persekolahan, yuran penginapan & makanan, yuran pengajian (nilai tambah seperti pengaturcaraan komputer, seni dan rekaan, sukan & permainan, muzik, seni persembahan dan program kepimpinan), wang saku dan peranti.

Murid akan menduduki peperiksaan IGCSE ketika di tingkatan lima dan perlu memperolehi sekurang-kurangnya Purata Nilai Gred (PNG) 3.0 dalam setiap peperiksaan untuk kekal sebagai murid tajaan. Senarai tiga orang murid cemerlang tingkatan tiga tahun 2021 yang terpilih ke program BITARA ini untuk ditempatkan di tingkatan empat di KYSM bagi sesi persekolahan 2022 adalah:

  1. Faiz Zikry bin Saian dari SMK Tengku Ampuan Rahimah, Klang
  2. Ayra Danisha Rizal binti Edwan Rizal dari SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpu
  3. Nur Syaznani Riana binti Khairulnizam dari SMK Jalan Empat, Bangi

Majlis Pelancaran Program BITARA ini telah diadakan di Kolej Yayasan Saad Melaka pada 19 Mac 2022.

“PENDIDIKAN UNGGUL : MENGUPAYA INSAN, MEREALISASI WAWASAN”

“SELANGOR MAJU BERSAMA”

Yayasan Selangor

21 Mac 2022

Yayasan Selangor telah ditubuhkan pada 5 November 1970 di bawah Akta Syarikat 1965. Objektif penubuhannya adalah untuk memberi bantuan dan galakan dalam bidang pendidikan kepada semua rakyat Malaysia khasnya di negeri Selangor yang kurang kemampuan tetapi berpotensi. Sehingga kini, Yayasan Selangor terus konsisten mengekalkan tradisinya membangunkan sumber manusia di negeri Selangor melalui program-program pendidikan anjurannya selaras dengan visinya untuk “menyediakan prasarana pendidikan yang efektif dalam membentuk generasi insan kamil”.

Maklumat lanjut mengenai Yayasan Selangor boleh diperolehi di www.yayasanselangor.org.my 

Untuk maklumat lanjut berkenaan siaran media ini, sila hubungi Bahagian Komunikasi Korporat Yayasan Selangor di talian 03-76691 118 / 210 / 117, email: kke@yselangor.com

 

2022-03-21T12:55:53+08:00
Do NOT follow this link or you will be banned from the site!
ms_MY