LONDON: Kira-kira 9.7 juta kanak-kanak yang terjejas akibat penutupan sekolah berisiko untuk tidak akan kembali semula ke kelas ekoran pandemik COVID-19 yang mengakibatkan 'darurat pendidikan luar biasa', dalam amaran dikeluarkan badan kebajikan, Save the Children.
Badan amal Britain itu memetik data daripada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada April bahawa 1.6 bilion generasi muda tidak dapat bersekolah dan meneruskan pengajian di universiti dalam usaha mengekang penularan COVID-19.
Ia mewakili kira-kira 90 peratus daripada populasi pelajar di seluruh dunia.
"Buat pertama kalinya dalam sejarah manusia, kanak-kanak di seluruh dunia terganggu pendidikan mereka," katanya melalui laporan terbaharu, Selamatkan Pendidikan Kami.
Katanya, krisis kejatuhan ekonomi berupaya memaksa 90 hingga 117 juta kanak-kanak terjebak dalam kemiskinan, sekali gus memberi kesan besar terhadap kemasukan ke sekolah.
Dengan ramai orang muda diperlukan untuk bekerja atau gadis dipaksa berkahwin awal untuk menanggung keluarga, sekali gus menyumbang antara tujuh hingga 9.7 juta kanak-kanak tercicir daripada sekolah secara kekal.
Dalam masa sama, badan kebajikan itu turut memberi amaran bahawa krisis berkenaan menyebabkan kekurangan peruntukkan sebanyak AS$77 juta (RM328 juta) dalam kalangan negara berpendapatan rendah dan sederhana menjelang akhir 2021.
"Kira-kira 10 juta kanak-kanak mungkin tidak akan kembali ke sekolah, ini adalah darurat pendidikan yang tidak pernah berlaku sebelum ini menyebabkan kerajaan perlu melabur dalam industri pendidikan dengan segera," kata Ketua Eksekutif Save the Children, Inger Ashing.
"Sebaliknya kita dalam risiko pemotongan peruntukan paling buruk yang akan menyaksikan letusan ketidaksamaan antara yang kaya dan miskin, antara lelaki dan perempuan," katanya.
Sehubungan itu, badan amal berkenaan mendesak kerajaan dan penderma supaya melaksanakan lebih pelaburan dalam rancangan pendidikan global untuk membantu kanak-kanak kembali ke sekolah apabila keadaan sudah selamat dan sementara menuju ke arah itu, sokongan terhadap pendidikan jarak jauh harus dilakukan.
"Kami mengetahui bahawa kanak-kanak paling miskin dan terpinggir yang sedia ketinggalan jauh di belakang mengalami kerugian apabila tidak mempunyai akses pendidikan jarak jauh atau sebarang jenis bentuk pembelajaran selama setengah tahun ini," kata Ashing.
Save the Children juga mendesak pemberi pinjaman komersial supaya menangguhkan pembayaran semula kepada negara berpendapatan rendah di mana langkah itu mampu menyumbang sehingga AS$14 juta (RM59 juta) untuk program pendidikan.
"Jika kita membiarkan krisis pendidikan ini tanpa jalan penyelesaian, kesannya kepada masa depan kanak-kanak ini akan berpanjangan," kata Ashing.
"Janji yang dibuat oleh dunia adalah untuk memastikan semua kanak-kanak mendapat kemudahan terhadap pendidikan yang berkualiti menjelang 2030, yang akan ditetapkan semula bertahun-tahun," katanya yang memetik misi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Laporan itu menyenaraikan 12 negara di mana kanak-kanak paling berisiko ketinggalan iaitu Niger, Mali, Chad, Liberia, Afghanistan, Guinea, Mauritania, Yaman, Nigeria, Pakistan, Senegal dan Ivory Coast.
Menurut badan amal itu, sebelum krisis, dianggarkan kira-kira 258 juta kanak-kanak dan remaja sudah tercicir dari sekolah. - AFP








