Isu bahasa kebangsaan masih menjadi antara topik perbincangan utama meskipun kita sudah menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-63.
Bahasa mencerminkan sesuatu bangsa dan senjata perpaduan masyarakat berbilang kaum seperti di negara ini jika dipraktikkan sebaiknya.
Termaktub dalam Perlembagaan 152, bahasa Melayu ialah bahasa rasmi, manakala Akta 1963 dan 1967 mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Ini bermakna bahasa Melayu bukan untuk bangsa Melayu sahaja, sebaliknya bahasa bangsa Malaysia.
Persoalannya, adakah semua warganegara fasih berbahasa Melayu? Kajian Nora'azian Nahar dan Fadzilah Abd Rahman dari Fakulti Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM) terhadap 414 murid Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) di Kuantan mendapati 55.7 peratus masih tidak fasih bahasa Melayu.
Jika di SJK, tahap kemahiran bertutur bahasa Melayu kurang 50 peratus, apakah mungkin peratus ini meningkat di universiti dan sektor pekerjaan?
Dalam Akta Pendidikan 1996 Fasa ke-28 menyatakan Menteri Pendidikan mempunyai bidang kuasa untuk mewujudkan sekolah kebangsaan dan vernakular. Masalah pada sekolah vernakular pula, diadakan fasa ke-17 iaitu Menteri Pendidikan diberi kuasa mengecualikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perantaraan di sekolah vernakular.
Disebabkan sekolah vernakular didedahkan dengan bahasa ibunda, martabat bahasa kebangsaan mustahil akan berlaku. Penguasaan bahasa Melayu sudah parah di sekolah vernakular, justeru bagaimana pula jika penambahan 16 sekolah vernakular baharu di negara ini?
Sekolah vernakular tidak pernah wujud di Indonesia, Jepun, Korea, Cina dan Eropah kerana mengamalkan prinsip asimilasi. Namun, Malaysia mengamalkan integrasi, iaitu kekuatan setiap kaum dipertahankan, termasuk bahasa.
Oleh itu, sekolah vernakular wujud di negara ini dan bahasa pengantarnya bukan bahasa Melayu. Ini antara punca bangsa Malaysia masih tidak fasih atau tidak boleh berbahasa Melayu.
Ditambah pula kekuatan pengamal bahasa Melayu dalam kalangan Bumiputera cuma 60 peratus. Lebih parah, sebahagian Bumiputera tidak mengamalkan bahasa Melayu dan mengutamakan bahasa Inggeris dalam pertuturan di rumah atau di luar.
Membenarkan fasa ke-17 dalam Akta Pendidikan 1996 membuktikan kerajaan sendiri tidak tegas memartabatkan bahasa kebangsaan. Kurang sifat nasionalisme dalam kalangan segelintir Bumiputera juga menjadi penyumbang bahasa Melayu dipinggirkan.
Mengambil contoh Indonesia, semua rakyatnya fasih berbahasa Indonesia, walaupun pelbagai etnik dan kaum, termasuk Cina. Mengapa hal seperti ini tidak terjadi di negara ini yang juga berbilang kaum?
Tambah pelik, bangsa Cina di mana-mana negara seperti Jepun, Korea, Kanada dan Perancis boleh fasih berbahasa kebangsaan negara yang mereka duduki. Mengapa sebahagian mereka tidak boleh berbahasa Melayu di negara ini sedangkan bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan bagi Malaysia?
Walaupun bahasa Melayu dijamin Perlembagaan sebagai bahasa rasmi, masalah fasa ke-17 menjadi antara penyumbang masih ramai rakyat tidak fasih bahasa itu. Fasa ke-17 ini perlu dihapuskan jika Malaysia serius mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Bahasa Melayu sering dipandang rendah atau boleh diertikan ditolak kerana ia dianggap hanya digunakan di negara ini dan bukan bahasa global, tiada nilai ekonomi serta profesional. Bahasa Melayu dilihat seolah-olah bahasa yang diketahui, bukan dikuasai.
Hal ini diburukkan lagi apabila segelintir warganegara tidak boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik ketika berurusan dalam sektor kerajaan sehingga terpaksa meminta bantuan orang lain. Malangnya, golongan ini tetap mengaku mereka rakyat Malaysia.
Pada 2020 ini, kita sepatutnya mengangkat Wawasan 2020. Perkara asas dalam Wawasan 2020 ialah menjunjung Perlembagaan, bangga menjadi warganegara dan fasih berbahasa Melayu. Kenapa masih ada tidak bersedia untuk melihat kedudukan bahasa Melayu diangkat?
Timbul tanda tanya, apakah penguatkuasaan dilakukan sepenuhnya sehingga menghalang kita daripada meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang sepatutnya dijulang. Jika penguatkuasaan dilakukan sepenuhnya dalam semua sektor, kita mampu menjadikannya sebagai alat pengantaraan.
Di manakah martabat bahasa Melayu jika rakyat sendiri tidak meletakkannya pada kedudukan tertinggi. Buktinya, kebanyakan universiti cenderung menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama kecuali Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar bukan sahaja di universiti awam (UA) atau swasta, bahkan pada persidangan antarabangsa walaupun dianjurkan universiti tempatan. Apakah menjadi kesalahan ucapan rasmi didahului bahasa Melayu dan disusuli bahasa Inggeris? Di sinilah peranan pentadbir universiti dalam menguatkuasakan undang-undang bahasa Melayu dalam semua urusan.
Diakui, bahasa Inggeris perlu dikuasai untuk tujuan globalisasi dan kerjasama penyelidikan pada peringkat antarabangsa, tetapi jangan sehingga meletakkan bahasa Melayu lebih rendah daripada bahasa lain. Segelintir warganegara menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pinggiran atau tidak standard, manakala bahasa Inggeris sebagai bahasa pembangunan.
Kerajaan perlu ada ketegasan politik untuk memastikan bahasa Melayu diangkat kedudukan pada tahap tertinggi. Malaysia sudah lebih setengah abad merdeka, ahli politik perlu lebih matang membawa kemajuan global dan mengikut arus teknologi yang sentiasa berubah, di samping memelihara identiti Malaysia.
Identiti Malaysia ialah masyarakat berbilang kaum dengan bahasa rasminya ialah bahasa Melayu. Sudah menjadi kewajipan semua rakyat fasih bahasa Melayu. Mengapa Jepun, Korea dan China boleh terus maju dengan menggunakan bahasa mereka?
Selain itu, Jabatan Pendaftaran Negara boleh mengatasi masalah kefasihan bahasa Melayu dengan mengadakan sesi ujian lisan bahasa Melayu kepada mereka yang hendak memperbaharui kad pengenalan pada usia 13 tahun dan permohonan baharu warganegara.
Jika gagal ujian lisan, mereka diberikan tempoh untuk belajar bahasa Melayu. Selagi tidak boleh bertutur bahasa Melayu, kerakyatan tidak akan diberi. Jika ini dapat dilakukan tegas dan berintegriti, peratusan rakyat tidak fasih bahasa Melayu dapat dikurangkan hingga ke angka sifar.
Semua warganegara wajib menguasai bahasa Melayu, tetapi bukan bermakna tidak boleh menguasai bahasa lain. Tidak salah mempertahankan nilai etnik sesuatu bangsa dengan mempertahankan bahasa ibunda, tetapi jangan sampai mengorbankan bahasa kebangsaan.
Kesimpulannya, kegagalan meletakkan kedudukan tinggi bahasa kebangsaan wujud sekian lama, tetapi mungkin tidak disedari kerana kita berada pada era globalisasi dan teknologi. Demi memastikan semua bangsa fasih bahasa Melayu, perlu ada penguatkuasaan kerajaan dan ketegasan politik.
Kerajaan juga perlu bijak menangani masalah sekolah vernakular, iaitu fasa ke-17 dalam Akta Pendidikan 1996 yang patut dihapuskan. Sifat nasionalisme perlu dipupuk supaya jati diri bangsa Malaysia dapat diterapkan.
Kemerdekaan lebih setengah abad ini lebih bererti jika warganegara berjaya mengangkat bahasa kebangsaan ke tahap tertinggi. Bahasa Melayu ialah bahasa rasmi bangsa Malaysia, bukan bahasa untuk orang Melayu sahaja.
Penulis adalah Pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor